Monday, 7 October 2013

KECANTIKAN BIAR MEMATUHI SYARIAT -

Sharing Is CaringDatuk Siti Nor Bahyah



Boleh dikatakan pelbagai cara sanggup dilakukan demi memiliki kecantikan yang ideal. Bukan sahaja ke salon kecantikan, mengunakan aneka kosmetik, mengenakan pakaian berjenama, bahkan sehingga sanggup menjalani pelbagai jenis pembedahan, malah ada antara kaedah tersebut membahayakan diri serta mengundang dosa.

Yang pastinya, soal kecantikan memang tidak dapat dipisahkan daripada kamus hidup setiap yang bergelar wanita, apatah lagi cantik itu adalah fitrah manusia. Lantaran itu, tidak hairanlah jika kita lihat kaum lelaki era moden ini juga semakin prihatin berkaitan penampilan diri dari segi lahiriah.

Pun begitu, perlu diingat bahawa kecantikan juga adalah salah satu bentuk ujian daripada Allah SWT. Bagi yang menggunakannya sesuai tuntutan agama, dia akan menjadi orang yang beruntung. Dan bagi yang menggunakannya di jalan yang salah, sangatlah merugikan dan berdosa. Apa lagi, golongan yang sanggup berhabis ribuan ringgit dan menolak hukum Allah SWT hanya semata-mata untuk kelihatan cantik adalah orang Islam itu sendiri. 

Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood, menjelaskan, Islam tidak melarang manusia itu atau umatnya untuk kelihatan cantik, namun perlu mengikut garis panduan yang dibenarkan di dalam Islam.

Kata-kata beliau dibuktikan dalam satu hadis Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah ini Maha Indah dan Maha Cantik dan Allah suka yang indah-indah dan yang cantik-cantik.”

Malah tegas beliau, tidak salah di dalam Islam kita berikhtiar untuk menjaga wajah, kesihatan, penampilan diri tetapi biarlah dengan kaedah dibenarkan di dalam Islam. Cantik biar mematuhi agama. Wanita mana yang tidak mahu tampil cantik? Di zaman moden ini, bagi segelintir wanita, penampilan cantik dan menarik, memang menjadi prioriti atau letak di tangga teratas. Meskipun, kecantikan itu adalah sesuatu yang subjektif nilaiannya. 

Mengulas tanggapan yang mendakwa pemakaian segelintir produk kecantikan, akan membuatkan wajah lebih menonjol, seterusnya menarik perhatian ramai dan bukankah ini dikira telah mengubah kejadian Allah ?

Menurut Datuk Siti Nor Bahyah, sesuatu yang mengubah kejadian Allah, jelas diharamkan di dalam Islam. Bagaimanapun penggunaan produk kecantikan, ia tidak mengubah bentuk muka seseorang itu tetapi ia lebih kepada merawat wajah iaitu dari kusam kepada lebih sekata rona muka si pemakai tersebut. 

Perlu ditekankan di sini, ini tidak merubah ciptaan Allah tetapi bermatlamat kepada membantu merawat masalah yang dihadapi. Oleh itu, menurut Datuk Siti Nor Bahyah, untuk menjadi cantik tidak salah di sisi Islam. Cuma apa pun yang dilakukan adalah berdasarkan kepada niat seseorang.          

Contohnya seorang isteri sudah pastinya apabila dia memakai produk kecantikan, niatnya adalah untuk menambat hati suami, supaya suami tambah sayang dan juga mungkin niat untuk keyakinan diri, itu sudah jelas dibenarkan didalam Islam.

“Namun jika ia diniatkan yang sebaliknya seperti untuk menarik perhatian orang lain, berbangga diri itu telah bercanggah dengan Islam. Apatah lagi, timbul riak dalam diri apabila terlalu dilambung-lambung dengan pujian. Walau apa pun ia berbalik kepada niat seseorang itu.”